Positif vs Negatif 
Ketahuilah bahawa terlalu banyak benda dan perkara yang tercipta mengandungi unsur berpasangan. Antaranya siang dan malam mewakili waktu, kiri dan kanan mewakili kedudukan, lelaki wanita mewakili jantina manusia dan seterusnya. Satu lagi unsur berpasangan yang sangat berpengaruh dalam kehidupan manusia ialah POSITIF dan NEGATIF.

Dalam ilmu sains tulin, positif dan negatif merujuk kepada ion atau cas. Ion atau cas positif dan negatif ini pula dikaitkan dengan daya-daya tertentu yang terdapat dalam berbagai benda alam fizikal. Pandangan umum melihat ion positif dan negatif ini sekadar penemuan dan hanya wujiud secara pasif. Namun para saintis merujuknya sebagai fenomena penting yang berimpak besar kepada kehidupan. Panahan kilat halilintar yang disusuli dentuman guruh yang hebat itu bukanlah hasil daripada produk ciptaan manusia bernilai ratusan juta ringgit. Ia berlaku sekadar pertembungan cas-cas negatif atau positif pada wap-wap air awan di atmosfera bumi. Produk-produk canggih berasaskan fizik dan kimia daripada bateri kereta sehinggalah teknologi nuklear tidak terlepas daripada manipulasi terhadap ion atau cas positif dan negatif. Di peringkat ini tidak dapat ditentukan mana yang lebih baik sama ada positif atau negatif kerana masing-masing ada peranan serta saling melengkapi.

Ahli-ahli psikologi dan sains kemanusiaan pula melihat positif dan negatif daripada sudut fikiran, perasaan, sikap dan tindakan manusia. Pada peringkat ini impaknya menjadi lebih hebat kerana kesilapan memilih salah satu akan menyebabkan kemusnahan. Contohnya jika pembinaan dan pembangunan reaktor tenaga nuklear didasarkan atas niat negatif, maka tak mustahil bumi ini akan binasa. Di sini, yang sebenarnya menjadi penghancur bukanlah senjata nuklear tetapi adalah fikiran atau niat negatif. Sementara itu fikiran dan tindakan positif pula mampu menyelamatkan planet bumi, contohnya semua negara termasuk kuasa-kuasa besar dunia berfikiran positif, lalu membuat resolusi di PBB bahawa senjata nuklear harus diharamkan dan dihapuskan. Kuasa yang menyelamatkan bumi bukanlah resolusi PBB, tetapi fikiran dan niat positif. Bayangkan, hanya sekadar pembuat-pembuat keputusan memilih untuk berfikir dan bertindak secara positif, kesannya adalah keamanan sejagat.

Jelaslah bahawa fikiran, perasaan, sikap dan tindakan positif atau negatif itu sangat memberi impak terhadap kehidupan. Terpulanglah kepada manusia untuk membiarkan elemen negatif terus berleluasa dalam diri, komuniti dan organisasi atau memilih positivisme sebagai tenaga hebat pemangkin kecemerlagan.

[ Hantar Komen ]   |  Baca  |   ( 0 / 0 )
Memunculkan Semangat 
Beruntunglah bagi orang yang mampu memotivasikan dirinya sendiri, bila-bila masa dikehendaki atau sepanjang masa. Golongan ini telah mengenal pelbagai elemen rasa dan perasaan yang bersimpang-siur dalam diri. Mereka sentiasa peka terhadap setiap gerak perubahan emosi diri, lalu melakukan kawalan kendiri. Dalam situasi-situasi yang mengundang perasaan negatif, dirinya mampu bangkit menafikannya, memunculkan daya semangat, mengembangkannya, sehingga akhirnya bergaerak sebagai peribadi bermotivasi. Lebih hebat lagi jika dia turut mampu memotivasikan peribadi-peribadi lain di sekitarnya. Maka jadilah dia umpama satu sumber tenaga alamiah yang mampu menggerakkan diri sendiri dan orang lain.

Simpatilah kepada golongan yang masih perlukan orang lain untuk memotivasikan diri. Sekurang-kurangnya dalam hatinya ada kehendak untuk menjadi lebih bersemangat, itu pun sudah menguntungkan. Seterusnya, menjadi tanggungjawab pula orang-orang bermotivasi untuk membantunya. Di sini teknik dan kemahiran diperlukan untuk membangkitkan seseorang yang kurang bersemangat kepada yang lebih bersemangat. Ini satu sains kemanusiaan dan seni pembangunan diri yang perlu dipelajari.

Secara umum, antara teknik membangunkan semangat ialah seperti penghargaan, memunculkan harapan, menjelaskan faedah, mengiktiraf kelebihan dan sebagainya.

[ Hantar Komen ]   |  Baca  |   ( 0 / 0 )
Semangat Terpendam 
Semangat dalam bahasa mudah adalah kekuatan atau daya yang menentukan kualiti dan kuantiti sesuatu tindakan atau perlakuan. Datuk Lee Chong Wei memenangi banyak pertandingan badminton kerana beliau memiliki semangat yang tinggi semasa bermain. Walaupun faktor stamina dan kemahiran turut menentukan, namun faktor semangat lebih menonjol dan dominan dalam menentukan kemenangannya. Di sini beliau meraih kesan-kesan kualiti iaitu menang pertandingan dan kuantiti iaitu menang banyak pertandingan. Kes Lee Chong Wei merupakan kes sukan di mana faktor semangat yang tinggi menghasilkan kemenangan.

Dalam kes pekerjaan seharian, keperluan semangat menjadi lebih penting. Ini adalah kerana pekerjaan seharian melibatkan kualiti dan kuantiti produk, hubungan pelanggan, hubungan staf, pengurusan organisasi serta pencapaian visi.Sering kali program-program meningkatkan kemahiran, mutu dan etika kerja menjadi tumpuan organisasi dalam usaha meningkatkan produktiviti serta kecemerlangan organisasi. Namun masih sedikit yang melihat program meningkatkan semangat sebagai satu pendekatan yang lebih berkesan serta memberi impak sehingga beberapa kali ganda.

Apa yang disebut sebagai motivasi itu tidak lain adalah semangat. Semangat itu satu bentuk tenaga terpendam dalam diri yang sering tidak disedari ketersembunyiannya. Disebabkan tidak disedarilah maka ia tidak dapat difahami, dikeluarkan dan dihidupkan. Jika seseorang itu telah berjaya menyedari serta memahami apa itu semangat, maka mudahlah saja dia mengeluarkan, merasakan serta menghidupkannya. Jika seseorang tidak mampu menyedari dan memahami sendiri semangatnya, maka dia perlu meminta bantuan dari pakar semangat, iaitu yang sering digelar sebagai pakar motivasi.

Sering kita dengar testimoni seseorang peserta yang baru tamat mengikuti program motivasi tiba-tiba berubah menjadi pekerja yang lebih bersemangat, malahan ada yang lebih bersemangat juga dalam menjalani kehidupan seharian. Anngapan umum adalah bahawa peserta itu telah mendapat semangat baru daripada program dan pakar motivasi yang memberi ceramah. Hakikat sebenar ialah peserta itu bukanlah mendapat semangat baru dari luar diri, tetapi telah berjaya mengeluarkan daya terpendam bernama semangat dari dalam dirinya sendiri. Program dan pakar motivasi hanya bertindak membimbing sehingga dia mampu menyedari kewujudan semangat itu dalam dirinya. Setelah menyedari kewujudannya, barulah dia dapat memahami serta merasai betapa hebatnya kesan daya tersebut dalam segala gerak dan tindakan. Huraian-huraian tersebut adalah jawapan penting kepada kes-kes orang kurang semangat, tidak bersemangat dan hilang semangat.

Justeru istilah 'memilki semangat yang tinggi' tidak lagi relevan untuk orang-orang yang cemerlang kerana semua orang memiliki 'semangat yang tinggi'. Bezanya ialah orang yang cemerlang itu telah berjaya membongkar, membakar serta menghidupkannya sementara orang kurang cemerlang masih menyimpannya sebagai tenaga terpendam.

[ Hantar Komen ]   |  Baca  |   ( 0 / 0 )
Kaitan Otak dengan Akal Fikiran 
Untuk beraktiviti, akal fikiran memerlukan tempurung kepala yang berisi sebiji otak lembut sebagai kenderaan atau asbab. Bukanlah bermakna otak yang mewujudkan akal, sebaliknya akal yang mewajarkan otak dicipta, bagi memudahkan akal menguruskan dunia fizikal ini. Akal mempunyai sejarah kewujudannya sendiri yang serba unik dan penuh misteri. Dari segi operasi kerjanya akal mempunyai dua pendekatan berfikir iaitu pendekatan otak kiri dan otak kanan.

Ahli-ahli neurologi otak menemui kaitan antara kerosakan saraf-saraf otak dengan gangguan akal fikiran manusia. Di sini memang nampak bahawa keadaan otak merupakan penyebab keadaan akal seseorang. Tidak salah merawat otak untuk memperbaiki keadaan akal. Namun satu fakta yang perlu dipatuhi adalah bahawa akal itu merupakan salah satu kurniaan atau anugerah IlLahiah. Oleh itu langkah memperbaiki serta meningkatkan akal adalah lebih wajar berbanding tumpuan memperbaiki otak menggunakan teknologi saintifik terkini. Program-program peningkatan IQ merupakan salah satu cara menghargai anugerah Tuhan dan untuk merasakan betapa hebat ciptaanNya.

[ Hantar Komen ]   |  Baca  |   ( 1 / 1 )
Menghargai dan Dihargai 
Apabila seorang pembeli bersetuju membeli satu barang perhiasan dengan suatu harga yang ditawarkan oleh si penjual, bermakna mereka telah bersetuju bahawa harga itulah yang mewakili nilai barang tersebut. Nilai barang tersebut akan berubah sama ada lebih rendah atau lebih tinggi jika harganya diubah dan dipersetujui bersama. Jadi faktor utama yang menentukan nilai barang tersebut adalah si pembeli dan penjual, selain dari kualiti serta kos pengeluaran. Pernahkah kita bertanya, bagaimana harga diri manusia ditentukan? Adakah diri sendiri? Adakah satu set penilai harga diri manusia? Adakah orang-orang di luar dirinya?

Diri sendiri tidak mampu menilai harga diri sendiri. Jika mampu pun, seseorang masih tidak pasti kebenaran serta kesahannya. Justeru, orang lainlah yang akan menjadi kayu ukur untuknya menilai harga diri. Antara kayu-kayu ukur yang memberi petunjuk ialah perlakuan-perlakuan orang lain terhadap dirinya. Harga dirinya mungkin tinggi bila ramai orang berterima kasih, memuji, memberi perhatian, menghormati dan memberi bantuan. Harga dirinya mungkin di tahap rendah jika orang sering mengeji, tidak mempedulikan, tidak berterima kasih, tidak membantu dan tidak menghormati. Namun pengukur-pengukur itu mungkin tidak bermakna baginya jika dia yakin dengan kayu ukur harga dirinya sendiri.

Iktibar dari situasi itu, setiap individu haruslah sentiasa menghargai orang lain. Sikap menghargai itu bermaksud, meletakkan satu nilai sebagai harga diri seseorang. Apabila kita menghargai seseorang, bermakna kita membantu dia menilai semula harga dirinya sendiri. Bila dia tersedar bahawa harga dirinya lebih tinggi dari apa yang dijangkanya, maka motivasi atau semangatnya akan meningkat. Dia akan menjalani kehidupan dengan lebih bertenaga dan bermakna. Jika dia adalah seorang pekerja atau staf bawahan kita, maka manfaatnya akan kembali kepada kita juga.

[ Hantar Komen ]   |  Baca  |   ( 3 / 10 )
Mengawal Emosi 
Kebanyakan orang menyedari setiap pergerakan tubuhnya, seperti berjalan, duduk, baring, berlari dan sebagainya. Tapi tidak ramai orang menyedari bahawa emosinya juga sentiasa bergerak.Emosi sentiasa bergerak selari dengan masa dan faktor sekeliling. Emosi boleh bergerak setiap beberapa minit atau saat dari tenang, riang, kecewa, tertekan, geram, risau dan seterusnya. Jika pergerakan tubuh badan senang dikawal, pergerakan emosi agak sukar kerana ia tidak terlihat. Justeru, kawalan emosi adalah amat penting berbanding dengan kawalan fizikal. Kegagalan mengenali, menyedari serta mengawal emosi sendiri akan menyebabkan dirinya hanyut dan terlambung oleh perubahan-perubahan emosi dan persekitaran. Keadaan emosi yang tidak tetap ini akan melemahkan daya tahan diri dalam menghadapi berbagai masalah serta menjejaskan kemampuan membuat keputusan dengan pantas dan tepat.

Adalah lebih bijak seseorang sentiasa berada dalam keadaan sedar akan emosinya. Setiap perubahan emosi yang terangsang oleh persekitaran dengan mudah dapat dirasa serta dikawal. Cara mengawalnya ialah meneutralkan setiap bentuk emosi ke satu keadaan yang tenang dan yakin. Contohnya ketika perasaan hendak marah, kita menyedarinya dan faham akan risikonya lalu segera mententeramkannya meskipun payah dan perit. Apabila gelombang marah itu mula reda, kembalilah kepada situasi emosi yang tenang dan yakin. Hal yang sama juga harus dilakukan ke atas kemunculan perasaan-perasaan lain seperti cemas, takut, terlalu gembira, kecewa dan sebagainya. Jadilah seorang pengawal emosi, sehingga anda dilihat sebagai seorang yang sentiasa tenang dan meyakinkan.


[ Hantar Komen ]   |  Baca  |   ( 3 / 10 )
Daya Empati 
Empati itu perasaan yang memandang diri orang lain dengan penuh perhatian dan kasih sayang. Seorang yang berempati itu menyedari perasaan orang lain sebagamana dia menyedari perasaannya sendiri. Empati itu tidak tergantung sama ada seseorang yang dipandang itu bermasalah atau tidak. Empati itu adalah pandangan mendalam terhadap orang lain dalam apa-apa keadaan pun. Pandangan empati bukan sekadar pandangan seimbas lalu, tetapi pandangan yang mampu menyelami kedalaman perasaan orang lain. Orang yang berempati berasa seolah-olah dia berada dalam kesusahan yang dialami oleh orang lain.
Orang yang ada empati tergolong sebagai orang-orang hebat kerana dalam keadaan biasa mereka boleh mengasihani manusia sekeliling yang tidak bermasalah. Apa lagi jika berhadapan dengan manusia-manusia yang ditimpa malang, maka merekalah golongan pertama yang tersentuh hatinya, dan yang tampil menghulurkan bantuan. Bukan sahaja bersedia mendengar dan memberi pandangan, malah mereka sanggup mengorbankan tenaga, masa dan material. Kewujudan rumah-rumah kebajikan, badan amal serta gerakan kemanusiaan di seluruh dunia adalah gambaran jelas tentang kehebatan daya empati.


[ Hantar Komen ]   |  Baca  |   ( 3 / 10 )

<Sebelumnya | 1 | 2 | 3 | 4 | 5 | 6 | Selanjutnya> Terakhir>>