Ketrampilan dalam Komunikasi 
Ketrampilan dalam Komunikasi
July 5th, 2010

Ketrampilan diri merupakan satu elemen penting dalam komunikasi. Ia adalah cara kita membina karakter diri dalam berhadapan dengan orang sekeliling. Ketrampilan diri harus dipelajari, diusahakan dan dipertingkatkan.

Pandangan umum menganggap penampilan diri sekadar solekan wajah, fesyen pakaian dan aksesori diri. Objektifnya pula tertumpu untuk menonjolkan diri secantik mungkin pada pandangan orang sekeliling. Namun elemen yang sering terabai ialah dari segi cara berfikir dan mengendalikan perasaan bila berhadapan dengan orang sekeliling.

Mengendalikan fikiran dan perasaan adalah langkah internal sebelum, semasa dan selepas berkomunikasi. Dalam kehidupan seharian kita akan sentiasa nampak orang, menegur orang, berbual, memujuk, bertanya dan berbagai lagi situasi komunikasi. Jika kita tidak bersedia dengan satu standard atau tahap penampilan diri eksternal dan internal, ditakuti situasi komunikasi itu yang akan menjejaskan ketenangan fikiran dan perasaan sendiri.

Ketrampilan diri bukanlah untuk menonjolkan diri tetapi untuk mengendalikan diri berhadapan dengan situasi sekeliling. Pengendalian diri pula harus berpusat dari fikiran dan perasaan serta disokong secara fizikal dengan elemen kekemasan dan kebersihan diri. Kita tidak dapat menolak risiko berhadapan dengan berbagai orang atas berbagai situasi dan tujuan. Orang sekeliling kita itu pula berbeza-beza dari segi pangkat, umur, kedudukan, sikap dan hubungan.

Kalau ketrampilan kita jenis pasif dan tertutup, komunikasi kurang berjaya. Tujuan kita tidak mudah dicapai sementara kepuasan orang lain akan rendah. Sebaliknya jika ketrampilan kita jenis aktif dan terbuka, tujuan komunikasi akan mudah dicapai dan orang lain akan puas hati.


[ Hantar Komen ]   |  Baca  |   ( 0 / 0 )

<Sebelumnya | 1 | 2 | 3 | 4 | 5 | 6 | Selanjutnya> Terakhir>>