Dalam ilmu sains tulin, positif dan negatif merujuk kepada ion atau cas. Ion atau cas positif dan negatif ini pula dikaitkan dengan daya-daya tertentu yang terdapat dalam berbagai benda alam fizikal. Pandangan umum melihat ion positif dan negatif ini sekadar penemuan dan hanya wujiud secara pasif. Namun para saintis merujuknya sebagai fenomena penting yang berimpak besar kepada kehidupan. Panahan kilat halilintar yang disusuli dentuman guruh yang hebat itu bukanlah hasil daripada produk ciptaan manusia bernilai ratusan juta ringgit. Ia berlaku sekadar pertembungan cas-cas negatif atau positif pada wap-wap air awan di atmosfera bumi. Produk-produk canggih berasaskan fizik dan kimia daripada bateri kereta sehinggalah teknologi nuklear tidak terlepas daripada manipulasi terhadap ion atau cas positif dan negatif. Di peringkat ini tidak dapat ditentukan mana yang lebih baik sama ada positif atau negatif kerana masing-masing ada peranan serta saling melengkapi.
Ahli-ahli psikologi dan sains kemanusiaan pula melihat positif dan negatif daripada sudut fikiran, perasaan, sikap dan tindakan manusia. Pada peringkat ini impaknya menjadi lebih hebat kerana kesilapan memilih salah satu akan menyebabkan kemusnahan. Contohnya jika pembinaan dan pembangunan reaktor tenaga nuklear didasarkan atas niat negatif, maka tak mustahil bumi ini akan binasa. Di sini, yang sebenarnya menjadi penghancur bukanlah senjata nuklear tetapi adalah fikiran atau niat negatif. Sementara itu fikiran dan tindakan positif pula mampu menyelamatkan planet bumi, contohnya semua negara termasuk kuasa-kuasa besar dunia berfikiran positif, lalu membuat resolusi di PBB bahawa senjata nuklear harus diharamkan dan dihapuskan. Kuasa yang menyelamatkan bumi bukanlah resolusi PBB, tetapi fikiran dan niat positif. Bayangkan, hanya sekadar pembuat-pembuat keputusan memilih untuk berfikir dan bertindak secara positif, kesannya adalah keamanan sejagat.
Jelaslah bahawa fikiran, perasaan, sikap dan tindakan positif atau negatif itu sangat memberi impak terhadap kehidupan. Terpulanglah kepada manusia untuk membiarkan elemen negatif terus berleluasa dalam diri, komuniti dan organisasi atau memilih positivisme sebagai tenaga hebat pemangkin kecemerlagan.
[ Hantar Komen ] | Baca |




( 0 / 0 )
Senarai Catatan



