Menghargai dan Dihargai 
Apabila seorang pembeli bersetuju membeli satu barang perhiasan dengan suatu harga yang ditawarkan oleh si penjual, bermakna mereka telah bersetuju bahawa harga itulah yang mewakili nilai barang tersebut. Nilai barang tersebut akan berubah sama ada lebih rendah atau lebih tinggi jika harganya diubah dan dipersetujui bersama. Jadi faktor utama yang menentukan nilai barang tersebut adalah si pembeli dan penjual, selain dari kualiti serta kos pengeluaran. Pernahkah kita bertanya, bagaimana harga diri manusia ditentukan? Adakah diri sendiri? Adakah satu set penilai harga diri manusia? Adakah orang-orang di luar dirinya?

Diri sendiri tidak mampu menilai harga diri sendiri. Jika mampu pun, seseorang masih tidak pasti kebenaran serta kesahannya. Justeru, orang lainlah yang akan menjadi kayu ukur untuknya menilai harga diri. Antara kayu-kayu ukur yang memberi petunjuk ialah perlakuan-perlakuan orang lain terhadap dirinya. Harga dirinya mungkin tinggi bila ramai orang berterima kasih, memuji, memberi perhatian, menghormati dan memberi bantuan. Harga dirinya mungkin di tahap rendah jika orang sering mengeji, tidak mempedulikan, tidak berterima kasih, tidak membantu dan tidak menghormati. Namun pengukur-pengukur itu mungkin tidak bermakna baginya jika dia yakin dengan kayu ukur harga dirinya sendiri.

Iktibar dari situasi itu, setiap individu haruslah sentiasa menghargai orang lain. Sikap menghargai itu bermaksud, meletakkan satu nilai sebagai harga diri seseorang. Apabila kita menghargai seseorang, bermakna kita membantu dia menilai semula harga dirinya sendiri. Bila dia tersedar bahawa harga dirinya lebih tinggi dari apa yang dijangkanya, maka motivasi atau semangatnya akan meningkat. Dia akan menjalani kehidupan dengan lebih bertenaga dan bermakna. Jika dia adalah seorang pekerja atau staf bawahan kita, maka manfaatnya akan kembali kepada kita juga.

[ Hantar Komen ]   |  Baca  |   ( 3 / 10 )

<<Pertama <Sebelumnya | 1 | 2 | 3 | 4 | 5 | 6 | Selanjutnya> Terakhir>>