Kehilangan Semangat 
Semangat pada makna yang mudah biasanya dikaitkan dengan situasi bekerja atau bersukan. Ertinya semangat itu hanya aktif ketika seseorang sedang bekerja atau bersukan. Semangat jenis ini masih bersifat teknikal kerana terkongkong dengan tempoh masa tertentu. Satu lagi semangat ialah yang bersifat lebih mendasar, iaitu semangat untuk menjalani kehidupan seharian.

Semangat masih bertahan dengan adanya kehendak serta keperluan. Pekerja bersemangat dalam tugas untuk memenuhi keperluan diri, keluarga, serta kehendak organisasi dan negara. Seorang manusia masih bersemangat untuk meneruskan kehidupan kerana masih ada kehendak terhadap berbagai perkara-perkara menarik di dunia ini. Banyak kes manusia kehilangan semangat disebabkan hilangnya kehendak dan keperluan terhadap sesuatu yang dijadikan asas semangatnya.

Seorang pekerja yang meletakkan visi syarikat sebagai asas semangat kerjanya, mungkin akan hilang semangat ketika dia dikritik hebat atas beberapa kesalahan yang tidak disengajakan atau komitmen kerjanya dipertikaikan. Semangatnya hilang bersama hilangnya kehendak untuk menjayakan visi syarikat. Mungkin dia akan terus bekerja, tapi tanpa semangat yang besar.

Seorang suami yang meletakkan cinta terhadap isteri sebagai asas paling utama untuk bersemangat menjalani kehidupan, mungkin akan terperangkap dalam keadaan tertentu. Semangatnya untuk meneruskan kehidupan mungkin akan hilang dengan kematian isterinya. Raja Shah Jahan di India mungkin kehilangan semangat untuk meneruskan hidup selepas kematian isterinya. Dan Taj Mahal itu mungkin terbina semata-mata untuk memulihkan semula semangat Shah Jahan untuk meneruskan kehidupan.

Sebagai kesimpulan, kehilangan semangat merupakan satu risiko yang tidak diingini. Risiko kehilangan tersebut pula berkaitan dengan kehendak serta keperluan yang ditanggapinya. Oleh itu, setiap individu harus sentiasa mengkaji serta menilai semula sama ada kehendak dan keperluannya itu cukup kukuh untuk dijadikan asas semangat hidup?

[ Hantar Komen ]   |  Baca  |   ( 3 / 5 )

<<Pertama <Sebelumnya | 1 | 2 | 3 | 4 | 5 | 6 | Selanjutnya> Terakhir>>