Seni Komunikasi 
Selagi seseorang itu bernafas di muka bumi ini, dia tidak dapat lari dari berkomunikasi. Tidak ada manusia yang hidup secara normal di dunia ini yang tidak melakukan komunikasi. Mungkin anda akan mempertikaikan kenyataan ini sekiranya anda menganggap berkomunikasi itu hanya melibatkan bercakap dalam bahasa tertentu dengan seseorang yang lain. Sebenarnya tanpa berbahasa anda pun berkomunikasi iaitu seperti menjerit "Aaaah...!", bertepuk tangan, melambai, mengangguk dan berbagai gerak badan yang lain. Syaratnya ialah segala perbuatan itu adalah untuk memberi isyarat, rangsangan atau tindak balas kepada pihak lain sama ada manusia mahupun bukan manusia.

Komunikasi ada seninya. Dalam konteks komunikasi sesama manusia, tentukan jenis komunikasi sama ada sembang, mengajar, ceramah, persembahan, perbincangan, jual beli, mesyuarat, bimbingan dan sebagainya. Selain itu, ambil kira juga situasi atau lokasi sekeliling komunikasi sama ada perlu mempertimbangkan pandangan sekeliling atau tidak. Tentukan pula niat komunikasi serta tujuan akhir yang hendak dicapai di akhir komunikasi. Utamakan dulu kehendak serta keselesaan orang yang kita ajak berkomunikasi, sebelum kita memenuhi niat dan tujuan kita. Sesuaikan diri dari segi laras bahasa serta gerak tubuh. Pengucapan verbal serta gerak non-verbal itu pula mesti disesuaikan untuk berapa pendengar/pelihat dan untuk barapa radius ruang jarak komunikasi.

Seseorang yang menguasai seni/kemahiran komunikasi yang tinggi biasanya akan menjadi peribadi-peribadi istimewa dalam kalangan masyarakat. Dan monolog atau percakapan dalam diri sendiri itu adalah satu bentuk komunikasi paling aktif dalam kehidupan seharian manusia. Malangnya ia jarang diiktiraf atau disedari sebagai satu bentuk komunikasi penting.. Ada banyak kes di mana keputusan-keputusan penting dunia atau organisasi bermula dari komunikasi personal dalaman.

Komunikasi yang paling agung ialah komunikasi manusia dengan Tuhannya. Dan itulah puncak seni komunikasi.

[ Hantar Komen ]   |  Baca  |   ( 3 / 5 )

<<Pertama <Sebelumnya | 1 | 2 | 3 | 4 | 5 | 6 | Selanjutnya> Terakhir>>